Takbir...

Islam is for all.

17 Januari 2007 (23:11)
Bismillahirrahmanirrahim….

Alhamdulillah, malam ini aku diberikan nikmat yang yang tidak terhingga antara nikmat-nikmatNya yang sangat banyak. Diperdengarkan aku dengan kisah-kisah silam yang sedikit sebanyak dapat menyuburkan kembali semangat jihad untuk mempertahankan agama Islam yang tercinta. Tepat jam 19:13 aku menaiki motor Honda 70 ku, bernombor plat WBR739 menuju ke masjid KUSZA (sekarang dikenali sebagai Masjid Universiti Darul Iman). Sesampainya di sana terus aku dapat solat berjemaah dan tentunya menjadi makmum muafiq. Ku kira malam ini tidak ada ustaz jemputan atau yang sepatutnya datang, akan mengajar di masjid itu, tetapi sangkaanku meleset sama sekali. Allah lebih sayangkan makmum yang ikhlas datang untuk memenuhi seruan Ilahi. Ustaz yang selalu datang pada malam Khamis datang dan bersedia untuk mengajar dengan penuh bersemangat. Aku masih belum mengetahui siapakah gerangan ustaz tersebut namun yang pasti setap kali lepas solat Isyak aku berkesempatan untuk bersalaman dengannya.
’Perang Al Yamamah ’. Itulah pokok perbincangan yang masih diteruskan oleh ustaz tersebut. Malam ini tajuk itu terus hangat dihuraikan dengan panjang lebar dan dengan penuh perasaaan sehinggakan aku berasa seolah-olah melihat dengan mata kepalaku sendiri peperangan tersebut. Ya.. memang benar, tidak lengkap ilmu seseorang yang mengaku menjadi pejuang Islam yang sebenar tanpa mengetahui sejarah perjuangan para Mursaliin, Sahabat dan Ulama’ silam. Perang Yamamah akan terus terpahat dalam sejarah Islam sebagai perang yang menyaksikan mengalirnya darah para Huffaz Al Qur’an, para pejuang Badar Al Kubra dengan banyak di medan Yamamah itu sendiri. Peperangan antara dua ketumbukan yang sangat besar jumlahnya di saat-saat Saidina Abu Bakar As Siddiq baru sahaja dilantik menjadi khalifah. Betapa para mujahidin terpaksa berhadapan dengan kekuatan tentera musuh yang mencapai angka sehingga melebihi 40,000 orang dari kalangan Kabilah Bani Hanifah. Betapa di saat-saat itu kaum Muslimin baru sahaja berduka dengan musibah terbesar pernah berlaku dalam hidup mereka, iaitu berita kewafatan Rasulullah SallallahuAlaihiWasallam. Dengan sewenang-wenangnya muncul kembali makhluk rakus bertopengkan manusia, sanggup mengaku diri sebagai Nabi sehingga boleh mengancam keselamatan agama Islam yang sewajibnya dipertahankan walau nyawa sebagai ganti.


Sekian dahulu dariku: Sebarang komen boleh ditujukan kepada
ridhuan_525@yahoo.com @
ridhuanabdullah@hotmail.com

Comments

Popular posts from this blog

Blog Vs Facebook?